Perutusan Hari Raya Eidul Adha 1419
Anwar Ibrahim

Alhamdulillah, marilah kita semua memanjatkan kesyukuran ke hadhirat Allat SWT kerana  sekali lagi umat Islam merayakan Eidul Adha, salah satu hari besar Islam.   Sesunguhnya perayaan ini perlu menjangkaui ritual, seharusnya ia membawa kepada peningkatan taqwa kerana darah haiwan yang dikorban tidak sampai kepada Allah SWT kecuali taqwa kita padaNya.
 
Sempena hari suci ini semestinya kita mengambil iktibar dari peristiwa korban yang sebut dalam al-Qur’anu ‘l-Karim,  dari kecekalan dan keteguhan  hati Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Semangat kecekalan inilah yang perlu kita hayati dalam mengharungi kegetiran perjuangan. Dan tatkala pemimpin tertinggi negara membuat ucapan-ucapan berbau perkauman amat bertepatan kalau kita teliti pengalaman menunaikan fardhu haji Malcolm X (Haji al-Malik as-Shabaz). Di Padang Arafat beliau bertemu orang putih yang paling putih dan orang hitam yang paling hitam tetapi mereka bersatu untuk mencari keredhaan Allah. Semua pula berpakaian ihram yang melambangkan persamaan tanpa mengira darjat dan pangkat. Pengalaman tersebut membuatkan Malcolm X mengikis saki baki sikap perkaumannya.

Perjuangan menuntut pengorbanan. Dan pengorbanan harus bermula dari diri sendiri dan keluarga. Inilah yang kita pelajari dari sirah Rasulullah. Inilah yang telah saya pelajari dari para ulamak dan hasil mentelaah al-Qur’an secara peribadi dan bersama rakan-rakan. Alhamdulillah ajaran ini memberikan kekuatan dan persediaan dalam menghadapi cobaan terhadap diri. Tanpa keimanan terhadap keadilan Ilahi, daya dan semangat juang saya sudah pasti telah lama  terkulai.  Telah enam bulan saya dianiaya oleh golongan  pakatan keji golongan kaya dan berkuasa. Dan tanpa keyakinan  tidak mungkin saya berdaya menghadapi fitnah yang sebegini besar, pedih dan mengaibkan.  Dalam dicengkam oleh kepedihan dan beratnya dugaan yang terpaksa digalas beberapa firman Allah datang bagai panahan hilir lintar menerangi kegelapan dan semangat saya melonjak kembali. Umpamanya, “Dan hendaklah kamu berteguh hati menghadapi apa yang menimpa dirimu” (Luqman: 17) .  Ayat-ayat seperti ini seolah-olah berbicara terus kepada diri saya.

Hidup ini adalah perjuangan. Perjuangan melawan kepalsuan, kezaliman dan kemunafikan.  Kepalsuan, kezaliman dan kemunafikan ada di mana-mana, dalam lingkungan kita, dalan negara dan di luar negara. Kesemuanya harus kita perangi. Kita harus perangi dengan jihad melawan hawa nafsu, dalam lingkungan dan negara harus kita perangi dengan melancarkan reformasi; dan di dunia luar harus kita perangi melalui forum-forum antarabangsa.  Adalah satu kemunafikan  apabila kita membebel tentang kezaliman dunia tetapi berdiam diri, apatah lagi melakukannya, di dalam masyarakat dan negeri sendiri. Maka kita menyaksikan bahawa serangan terhadap kezaliman luar negara hanya semata-mata bom asap untuk mengabui mata rakyat terhadap kezaliman yang dilakukan dalam negara sendiri.

Perjuangan semestinya menuntut pengorbanan. Tetapi  pengorbanan perlu bermula dari diri sendiri dan keluarga. Telah diriwayatkan bahawa Imam Nawawi, pengarang Matan al-Arba’in dan Riadhu ‘l-Salihin, pernah diminta oleh Sultan MalikusSaleh untuk mengeluarkan fatwa mewajibkan rakyat berkorban harta mereka untuk   membantu negara dalam perang. Imam Nawawi enggan mengeluarkan fatwa tersebut sambil menjawab bahawa Sultanlah orang yang pertama-tama patut berkorban. Andaikata Sultan bersedia mengorbankan sebahagian besar hartanya berupa khadam, kuda, permaidani indah, ketul-ketul emas, barulah boleh diminta rakyat untuk mengorbankan harta mereka.

Alangkah berbedanya prinsip pengorbanan yang diajarkan oleh tradisi Islam dan budaya luhur dengan realiti yang berlaku di Malaysia hari ini. Pemimpin tertinggi negara meminta rakyat berkorban sedangkan dia dan keluarganya lemas dalam kemewahan, mendirikan mahligai yang terbesar dalam sejarah bangsa kita, yang paling besar dalam negara-negara membangun, bahkan mengatasi besarnya kediaman pemerintah beberapa negara maju. Dan istana ini dibina dari wang cukai yang dikutip dari keringat rakyat, termasuk peladang, nelayan dan peniaga kecil. Pemimpin ini juga meminta rakyat menggunakan barang-barang keluaran tempatan tetapi istananya sendiri dihiasi dengan perabut dan perlengkapan yang diimport dari luar negeri.

Dua hari sebelum berlepas untuk menunaikan fardhu haji, Dr Mahathir sanggup berdusta mengatakan saya meluluskan projek mahligai berharga RM250 juta di Putrajaya, tidak termsuk harga tanah dan infrastruktur. Sebenarnya pembinaan mahligai ini tidak melibatkan Kementerian Kewangan kerana semuanya diuruskan oleh Putrajaya Holdings. Ia dibiayai oleh Petronas, di bawah kelolaaan Perdana Menteri. Begitu juga pesawat canggih Global Express, dibeli dari syarikat Bombardier yang dipilih sendiri oleh Dr Mahathir setelah menemui Pengerusi dan wakil syarikat tersebut. Bahkan beliau sendiri telah memilih rekabentuk yang cukup istimewa menyebabkan kos melambung sehingga RM200 juta. Setelah itu barulah Bahagian Kontrak Kementerian Kewangan diarah merundingkan harga dengan syarikat tersebut.

Beliau sanggup terus menerus berdusta kerana ahli Kabinet yang sedia memaklumi perkara tersebut tidak berani memberi penjelasan sebenar; sedangkan media diperalatkan untuk menutup maklumat tersebut dari disebarkan kepada orang ramai. Maka akhirnya rakyat miskin dan berpendapatan rendah diminta berkorban tetapi pengorbanan mereka adalah untuk  mempastikan segelintir golongan korup terus memerintah. Rakyat  diminta berkorban, diminta mengumpul dana $10 dan $20, untuk menyelamatkan syarikat keluarga pertama dan segelintir golongan kroni mahakaya dari jatuh muflis.

Sesungguhnya pemimpin yang kehidupannnya hanya berlegar di dalam lingkungan segelintir manusia mahakaya tidak akan mengerti harapan dan aspirasi rakyat. Maka kita saksikan bagaimana undang-undang dan peraturan dilenturkan untuk menjaga kepentingan segelintir manusia ini. Maka kita saksikan bagaimana wang yang dikutip dari rakyat digunakan untuk melaksanakan projek-projek membazir sekadar untuk bermegah-megah dan memberikan kontrak kepada suku-sakat golongan kroni mahakaya. Sebaliknya golongan peniaga kecil, petani dan nelayan, mereka diherdik dan dileter kerana terus menerus meminta bantuan dan dicemuh kerana terus hidup dengan mentaliti subisidi. Tetapi kini pemimpin sama menjelajah seluruh negara meminta rakyat berkorban untuk menyelamatkan syarikat-syarikat gergasi dan golongan mahakaya dari jatuh muflis.  Sikap sentiasa memihak kepada golongan kaya dan berkuasa ini sungguh berbeda dengan prinsip kepimpinan yang ditegas oleh  Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a. dalam pidato penerimaan jawatan khalifah: “Kejujuran adalah  amanah, dusta adalah khianat.  Barangsiapa yang lemah antaramu akan kuat bagiku, sehingga aku kembalikan haknya, insya Allah. Barangsiapa yang kuat di antaramu akan lemah berhadapan denganku, sehingga aku ambil hak orang lain di tangannya, insya Allah.”  Pemimpin harus hidup bersama rakyat, bukannya tinggal di mahligai terpencil dan hanya turun untuk meraih undi atau melancarkan fitnah dan propaganda nista. Diriwayatkan bahawa Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. pada suatu musim kemarau pernah memantangkan dirinya dari makan minyak samin, lantaran rakyat umum sukar sekali memperoleh samin. Badannya menjadi lemah, air mukanya menjadi kecut, lantaran terlalu banyak makan minyak zaitun, pengganti samin.  Para sahabat mendesaknya supaya dia memperguna wang dari baitul-mal, sekadar membeli samin untuk khalifah. Tetapi Sayyidina Umar  menolak dan berkata: “Bagaimana aku akan dapat memperhatikan kepentingan rakyat apabila aku tidak merasakan derita yang mereka rasakan?”
 

Malaysia telah sampai di persimpangan sejarah yang memerlukan kita merumus ketetapan baru. Sistem pemerintahan negara telah rosak, di nodai oleh rasuah dan penyalahgunaan kuasa.  Pelbagai dasar-dasar dirumuskan dan dilaksanakan untuk menjaga kepentingan segelintir yang kaya. Sistem keadilan telah begitu tercemar dan sukar dipercayai lagi. Bertahun-tahun saya menganggotai kerajaan saya menyedari berkembangnya gejala rasuah dan salah guna kuasa, nepotisme dan kronisme. Maka berulang kali saya tegasnya bahawa pemerintah memerlukan reformasi dalaman. Ternyata golongan kaya dan korup tidak mahukan reformasi dalaman dan membuat rancangan rapi untuk menjatuhkan saya. Saya disingkirkan melalui satu konspirasi, tetapi krisis politik yang melanda telah membuka mata rakyat.

Jelas Malaysia kita memerlukan ketetapan baru. Tetapi rakyat yang menuntut ketetapan baru ini ditakut-takutkan dengan cerita momokan penjajah baru. Saya katakan rakyat harus bersedia untuk menghadapi segala bentuk kezaliman dan penindasan, dan penjajahan adalah salah satu bentuk penindasan. Bangsa kita pernah dijajah dan kita perlu mengambil iktibar dari pengalaman pahit penjajahan. Dan penjajahan itu hanya berlaku kerana negara lemah akibat kezaliman dan penindasan pemerintah tempatan. Melaka jatuh ke tangan Portugis kerana kezaliman Sultan dan fitnah sehingga menyebabkan Bendahara dibunuh.  Dan tidak ada analisa yang paling tajam tentang kezaliman pemerintah sebagai punca penjajahan dari yang pernah ditulis oleh Munsyi Abdullah di abad ke-19.  Ketika membuat rumusan penutup buku Hikayat Abdullah pendita itu menulis: :

”….Maka kulihat hal ehwal mereka (orang-orang Melayu) itu dan tabiat mereka itu …. Maka kuselidik-selidik dalam perasaanku, maka kudapati akan sebabnya itu atas beberapa perkara, tetapi dalam antara perkara yang banyak itu terlebih yang mendatangkan celaka  atas mereka itu iaitu sebab lalim dan aniaya perintah raja-rajanya, sehingga hati rakyatnya itu menjadi seumpama tanah yang tiada berbaja lagi , maka sebab itu tiada boleh bertumbuh barang suatu pekerjaan atau pengajaran atau ilmu atau kepandaian yang baik dalamnya , hanya ia hidup seperti pohon kayu yang dalam hutan, maka barang dimana ditiup angin, disanalah dia rebah….Syahdan, adapun sebab aku mengatakan lalim dan aniaya perintah raja-rajanya, karena sentiasa tabiat raja  Melayu itu iaitu menghina rakyatnya seolah-olah pada pemandangannya akan rakyatnya itu seperti binatang adanya.”

Jika kita benar-benar ingin menyelamatkan negara dari penjajah bentuk baru maka kita harus membanteras sumber kelemahan negara, iaitu rasuah, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa. Dan ini tidak akan tercapai kecuali melalui islah -- reformasi. Tetapi sebenarnya penjajahan baru yang ditakuti itu telah ada di kalangan kita. Kita dijajah oleh bangsa kita sendiri. Tatkala Inggeris menjajah segala hasil negara dipunggah ke England.  Kini segelintir anak negeri yang mahakaya memunggah kekayaan negara untuk disimpan dalam akaun rahasia “numbered account” di bank-bank di luar negara. Retorika penjajahan baru hanyalah satu sendiwara politik. Sebenarnya orang yang  menampilkan dirinya sebagai jaguh menentung penjajah adalah sebenarnya penjajah baru yang sedang bermaharajalela. Begitu juga kehebohan kononnya percubaan membunuh pemimpin tidak lain dari helah untuk bertindak ganas dan kejam semata-mata untuk membolot kekayaan dan mengekalkan kuasa.

Jika kita ingin membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang kita perlu membebaskan diri kita dari ketakutan. Pemimpin perlu bertanggungjawab, tidak menyalahkan orang lain apabila menghadapi masalah akibat angkara sendiri. Kemelut ekonomi negara sebahagiannya berpunca dari luar dan sebahagiannya berpunca dari dalam iaitu perlaksanaan  dasar-dasar ekonomi yang boros dan nafsu untuk bermegah-megah. Tanpa reformasi Malaysia tidak bersedia untuk memasuki alaf baru. Ditakdirkan ekonomi serantau pulih dan pemulihan itu cukup kuat ia sudah tentu boleh menarik ekonomi Malaysia keluar dari masalah sekarang. Tetapi tanpa reformasi pemulihan itu hanya akan memperkukuhkan  amalan rasuah, nepotisme dan kronisme.

Yang kita inginkan adalah masyarakat negara yang mengikut perlambangan al-Qur’an “ibarat pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit.” (Ibrahim:24). Tidak lain dan tidak bukan negara yang hidup dengan prinsip keadilan dan ihsan di mana rakyat bebas dan merdeka dari ketakutan, yang lemah dilindungi, yang teraniaya dibela dan penjenayah dihukum.
 

Anwar Ibrahim
Sg Buloh