Makluman DETIK: Intelektual Melayu Tolak Umno - Dr Hasan Ali

DETIK terbitan 1 April, 1999 akan mengupas pelbagai isu, antaranya:

(W) Dr Hj HASSAN MOHD ALI (5 halaman) - menjelaskan sikapnya terhadap PAS, terhadap Anwar, pembabitannya dan pengalamannya yang berguna untuk PAS dan pembentukan kerajaan baru jika PAS boleh memerintah negara. Ditanya mengenai DS Anwar, Dr Hassan menjelaskan "sememangnya kami sama-sama di universiti dan dalam beberapa mata pelajaran, kami sekelas. Tidak dapat dinafikan bahawa lebih banyak persamaan (antara beliau dengan Anwar) daripada perbezaan antara kami apabila melihat isu-isu yang menyentuh persoalan negara dan ummah".

(W) Profesor Dr CHANDRA MUZAFFAR (3 halaman) - menerangkan sebab-sebab utama mengapa UM memecat beliau. Prof Chandra juga menyatakan kekecewaannya atas tindakan UM yang dianggap "zalim" dan "tidak beradab" itu. Selain itu, beliau menjelaskan pentingkan dialog peradaban diadakan sekarang agar dapat memupuk kerjasama antara kaum. Bagi dirinya, BN & Umno sengaja memperalatkan isu perkauman untuk meraih sokongan.

(W) Sdr SIVARASAH RASIAH (6 halaman) - seorang peguam dan aktivis hak asasi manusia mengolah idea-ideanya tentang reformasi, tentang protes rakyat, tentang pilihanraya yang tidak bebas dan politik perkauman. Beliau juga menyebutkan apakah ciri-ciri dan agenda parti-parti pembangkang dalam usaha membentuk barisan alternatif kepada BN. Siva menjelaskan apakah sebabnya peguam-peguam bukan Melayu suka menolong penyokong reformasi yang ditahan polis dan dihadapkan ke mahkamah.

(W) Hjh MARINA YUSOFF (2 halaman) - mengupas peranan wanita dalam politik, sikap wanita terhadap politik dan menyimpulkan bahawa “Umno kini sudah tinggal hampas”! Menurut Marina, Dr Wan Azizah layak memperjuangkan politik jika sahabat-sahabat Anwar membimbingnya. Marina juga menjelaskan bahawa kaum wanita memang sukar mempercayai tuduhan salah laku seks ke atas Anwar dan menyatakan pembabitan wanita dalam tunjuk-tunjuk perasaan membuktikan bahawa tunjuk perasaan reformasi setiap minggu itu secara AMAN dan bukan

(W) DS ABDULLAH AHMAD BADAWI (4 halaman) - menyatakan hasratnya untuk menjadi “TPM yang terbaik” dan “TPM terakhir” kepada Dr Mahathir. Apa ertinya itu? Ikutulah idea-idea Pak Lah yang terawal sebagai TPM yang baru dan kaji sendiri sama ada anda boleh meyakini kepimpinannya atau tidak. Pak Lah juga berkata, "jika sekiranya rakyat terus mengkritik ISA, mungkin akta ini perlu dipinda". Apakah beliau serius dengan kata-kata itu?

(K) RUSTAM A Sani - cuba mengupas tujuan tersirat atau motif mengapa bekas KPN, Rahim Noor, tergamak memukul mata Anwar sehingga lebam. Apakah disebabkan arahan pihak “tertentu” atau atas kehendak Rahim sendiri? Jika atas inisiatifnya sendiri, mengapa dia tergamak berbuat demikian?

(K) HISHAMUDDIN Rais - juga menyentuh tentang Dr Mahathir dan Rahim Noor

(K) AHMAD LUTFI Othman - menjelajah sejarah pembabitan golongan pendidikan sekular, pembentuk golongan profesional dalam PAS. Dan membangkitkan persoalan, apakah penyertaan Dr Harun Din, Dr Hasan Ali, Ustaz Ismail Kamus akan mengukuhkan PAS? Beliau juga bertanya - dalam ruangan "Cetusan Minda" - apakah Mahathir sebagai pelindung masyarakat Cina?

(K) FAISAL TEHRANI - mengupas tentang fenomena kegawatan ekonomi di Pulau Mutiara – sehingga ada peniaga yang sanggup menjual barangan terpakai dari rumah masing-masing!

(K) FATHI ARIS Omar (Editor) - mengupas isu yang menarik – mengapa DETIK menggunakan slogan “Suara Reformasi Rakyat”. Apakah benar DETIK menyokong Anwar atau semata-mata hendak mencari keuntungan? Siapakah yang menjadi “dalang” penggerak utama DETIK? Apakah wajar DETIK dicurigai dan apakah kecurigaan itu merugikan reformasi dan pembangkang?

(R) ZUNAR mengupas lagu-lagu reformasi di Indonesia dan menyenaraikan tokoh-tokoh reformasi di kalangan penyanyi&pemuisi Indonesia. Turut disertakan ialah seni kata lagu-lagu reformasi di Indonesia seperti "Lagu Capek", "Tak Kunjung Datang", "Bento" (diharamkan oleh regim Suharto), "Paman Doblang" (karya penyajak terkenal, W S Rendra) dan juga "Di Sini". Pastinya anda akan tertarik membaca lirik-lirik lagu ini dan kupasannya oleh kartunis politik yang terkenal, ZUNAR

(R) Apa Khabar Dr RAHIM GHOUSE di United Kingdom? Pengalaman Dr Rahim, seorang pejuang reformasi yang bergerak di luar negara, di satu pertemuan dengan pelajar-pelajar di UK. Apa nasihat beliau kepada orang-orang yang takut. Dan Dr Rahim juga menjelaskan mengapakah beliau berada di luar negara - apakah kerana beliau takut ditangkap seperti Ruslan Kassim?

Lain-lain tulisan menarik: Tun DAIM mengupas rasional di sebalik dasar kawalan mata wang yang diambil kerajaan, George SOROS menafsirkan perkembangan kegawatan ekonomi di peringkat global bermula dari kejatuhan Asia hingga ke Brazil dan apakah maksudnya "ekonomi di pusat" dengan "ekonomi di pinggiran"? Sasterawan DINSMAN berpuisi lagi dengan "kebengongan (3)" sejak Anwar dipecat dan membangkitkan persoalan-persoalan yang serius kepada rakan sasterawannya, Sutung. Analisis pilihanraya SABAH menunjukkan isu Anwar tidak menarik minat pengundi di sana.

** (W) = wawancara X-klusif yang tidak terdapat dalam mana-mana media kecuali dalam DETIK (K) = kolumnis DETIK dan (R) = rencana

Sekadar makluman, Unit Promosi DETIK (berada di pasaran mulai 1 April)